Pages

out of mind!

out of mind!

Tuesday 23 September 2014

SEDUTAN NELAYAN VS CE0...


Nurul Ain sedang duduk di kerusi batu menghadap kolam renang ketika Arman Zafril sampai di rumah lewat petang itu. Sudah masuk tiga hari dia tidak bekerja. Dia terpaksa menyambung cuti kerana kejadian malang yang menimpanya semalam. Nasib baik syarikat ‘bapak’ sendiri. Kalau syarikat orang, mahunya dia dikenakan tindakan disiplin akibat cuti secara tiba-tiba. Kedengaran keluhan kecil dilepaskan.

 Kakinya yang masih berbalut dengan bandage diluruskan menghadap kolam renang. Dia hanya mengenakan tshirt lengan panjang adidas berwarna hijau serta seluar trek hitam juga tudung Syria hitam. Jika dilihat, tak ubah seperti gadis belasan tahun disebabkan wajahnya yang persis keanak-anakkan itu. Nurul Ain membuang pandang ke arah tengah kolam. Dari tempat dia duduk, kelihatan tukang kebun yang dikenali sebagai Pak Dul sedang menggunting pokok pagar yang mengelilingi kawasan rumah tersebut di mana ianya terletak berhampiran dengan pagar  batu setinggi satu meter itu. Nurul Ain ralit memerhati kerja menggunting yang dilakukan Pak Dul sehinggakan kehadiran seseorang di belakangnya langsung dia tidak sedari.

            “ Hai..jauh termenung,” tegur satu suara. Nurul Ain tersentak. Dia berpaling ke belakang. Seketika dia mengukir senyum nipis. Debaran di dada mula terasa. Ish apasal ni? Arman Zafril mengambil tempat di hadapannya sekaligus menghadang penglihatan Nurul Ain dari terus memerhatikan Pak Dul.

            “ Kaki dah okey?” tanya Arman Zafril seraya menanggalkan kot yang masih melekat ditubuhnya lalu diletakkan di atas meja batu. Nafas ditarik seketika sebelum menghembusnya dengan sedikit kuat demi melepaskan kepenatan akibat seharian bekerja pada hari itu. Arman Zafril kemudian menanggalkan butang baju kemeja satu persatu serta tali leher yang masih terikat kemas ditengkuknya. Kini tinggal tshirt hitam nipis yang membaluti tubuhnya yang sasa. Nurul Ain hanya memerhati tanpa sepatah kata. Teringatkan pertanyaan lelaki itu yang masih belum dijawab, Nurul Ain berdehem kecil seketika. Tangannya memusing-musing I-phone yang dipegang di atas meja.

            “ Dah okey sikit. Cuma nak berjalan tu, ada la lagi rasa sakit sikit-sikit. Tapi bengkak dia rasa macam dah surut,” beritahu Nurul Ain sambil matanya tidak lepas memandang kaki yang dilunjurkan lurus di atas kerusi. Dia berasa segan sebenarnya kerana terpaksa duduk dalam keadaan begitu, namun dia terpaksa. Hendak dijatuhkan kakinya, nanti terasa sakit pula. Mahu tidak mahu terpaksalah dia duduk dalam keadaan begitu.

            “ Sini, abang tengok kaki tu,” Arman Zafril sudah bergerak merapati kaki Nurul Ain. Tanpa isyarat, dia terus menyentuh kaki gadis itu. Nurul Ain yang nyata tidak bersedia dengan situasi itu tersentak. Mahu saja ditarik kakinya dari pegangan Arman Zafril namun khuatir lelaki itu berkecil hati pula. Bukan dia tidak suka, tetapi dia memang tidak tahan geli.

            Perlahan-lahan Arman Zafril membuka penyepit bandage di kaki Nurul Ain. Gulungan bandage yang membaluti kaki gadis itu dileraikan perlahan-lahan. Berkerut-kerut wajah Nurul Ain menahan geli. Sekejap-sekejap Arman Zafril perasan yang Nurul Ain cuba menarik kakinya beberapa kali.

            “ Kenapa? Sakit ke?” soalnya sedikit bimbang. Nurul Ain pantas menggeleng.
       
            “ Tak sakit, tapi geli,”

            “ Tak tahan geli eh? Dah siap!” ucap Arman Zafril lalu meletakkan bandage yang telah dibuka tadi ke atas meja batu. Kemudian matanya tertancap lama pada kaki Nurul Ain yang putih melepak. Arman Zafril menelan liur. Jantungnya mula terasa berdebar saat terpandangkan kulit gadis itu yang licin gebu dan bersinar-sinar. Hatinya mula rasa gelisah. Kesan bengkak di kaki gadis itu sudah surut. Arman Zafril berdehem kecil bagi melindungi gelodak perasaannya yang kian tidak menentu. Nurul Ain langsung tidak perasan akan keadaan itu.

            “ Dah okey ni abang tengok. Tak bengkak macam semalam. Tak perlu pakai bandage lagi kut,” ucapnya memberi pendapat. Nurul Ain yang turut bersetuju dengan pendapat Arman Zafril hanya mengangguk.

            “ Thanks. Sorry sebab dah menyusahkan awak,” ucap Nurul Ain dengan rasa serba salah. Yalah, disebabkan kejadian yang menimpanya, Arman Zafril terpaksa mengambilnya di pusat bowling semalam. Kalau dekat tak apalah juga, ini boleh tahan jauhnya.

            “ Tak ada apalah. Ain kan di bawah tanggungjawab abang. Erm..by the way..macam mana bola boling tu boleh terhempap kaki? Baling atas kaki ke apa?” Arman Zafril sembunyi senyum yang hendak terbit di bibirnya. Dia rasa lucu dengan kata-kata sindirannya sendiri kepada gadis itu. Tiba-tiba terdetik di mindanya untuk menyakat Nurul Ain. Sudah lama dia tidak berbuat begitu rasanya. Nurul Ain yang terasa tersindir dengan kata-kata Arman Zafril hanya menayangkan muka selamba. Dia berpura-pura sibuk meneliti i-phone ditangan.

            “ Lantai tu licin kut masa saya nak buat balingan. Tu yang tak dapat nak balance, then terjatuh atas kaki bola tu..” Nurul Ain mereka alasan. Pantas sahaja akalnya mendapat idea bagi menjawab soalan lelaki yang sedari tadi tidak sudah-sudah merenungnya. Mana mungkin dia menceritakan yang dia sengaja membuat balingan menggunakan bola yang paling berat. Di mana hendak diletakkan mukanya nanti. Pasti malu besar. Kena bebel lagi!Haissh! Nurul Ain masih ralit menilik skrin telefon tanpa sedikit pun memandang Arman Zafril di hadapannya. Arman Zafril yang mendengar ‘cerita’ Nurul Ain hanya tersenyum. Usik lebih-lebih nanti panjang pula ceritanya.

            “ Ain..Ain..lain kali hati-hati. Orang lain main boling jugak, tapi tak adalah sampai terhempap kaki sendiri. Nasib baik tak teruk sangat tau semalam. Kalau tak, tak tahulah macam mana. Silap- silap pakai tongkat dah Ain hari ni,” Arman Zafril menghamburkan tawa kecilnya. Tidak dapat dia membayangkan jika gadis di hadapannya berjalan menggunakan tongkat. Pasti kelakar. Nurul Ain yang mendengar hanya mencebik. Malas dia mahu membalas kata-kata Arman Zafril itu. Kesudahannya nanti dia sendiri yang sakit hati.

            Nurul Ain merenung Arman Zafril yang dilihatnya masih tersenyum-senyum. Dalam kepalanya terfikirkan sesuatu. ‘Sesuatu’ yang sudah lama hendak ditanyakan kepada lelaki itu namun tiada masa yang sesuai. Mungkin inilah saat yang dirasakan paling sesuai untuk bertanyakan hal tersebut. Nurul Ain berdehem kecil seketika.

            “ Boleh saya tanya sesuatu?” Arman Zafril angkat kening.

            “ Ain nak tanya apa?”

          “ Macam mana awak boleh jadi anak angkat mak dengan abah?” Arman Zafril terdiam seketika. Lama dia memandang wajah comel di hadapannya sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia tidak terkejut dengan soalan itu malah dia sudah dapat mengagak yang Nurul Ain pasti akan bertanyakan hal itu suatu hari nanti cuma masanya sahaja yang dia tidak tahu bila.

            “ Penting ke untuk Ain tahu?” Nurul Ain tersentak. Pantas kepalanya mendongak memandang Arman Zafril di hadapan. Mata bundarnya menikam tepat ke dalam anak mata hazel milik Arman Zafril. Hati wanitanya sedikit terasa dengan soalan yang diutarakan lelaki itu tadi. Wajah yang tadinya putih bersih kini sudah kemerah-merahan menahan malu. Arman Zafril nampak dengan jelas perubahan pada riak wajah Nurul Ain. Dia sengaja berkata begitu kerana ingin menguji sejauh mana perasaan Nurul Ain padanya juga sejauh mana pentingnya dirinya pada gadis itu.

            “ Kalau awak tak nak beritahu, tak apalah. Saya tak kisah pun,” balas Nurul Ain perlahan. Pandangannya dihalakan ke tengah kolam. Dalam hatinya sudah rasa mahu menangis, namun ditahan air mata dari keluar. Dia benar-benar terasa dengan kata-kata Arman Zafril tadi. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menjawab, ya, tersangat penting untuk dia mengetahui perihal lelaki itu namun ego wanitanya menghalang. Arman Zafril mula rasa serba salah. Tubuhnya ditegakkan dari bersandar di kerusi. Raut wajah yang kelihatan seperti merajuk itu direnung sayang.

            “ Ain..abang main-main ajelah. Sensitif sangat Ain sekarang ni ya?” usik Arman Zafril yang sudah tergelak melihat wajah Nurul Ain yang masam mencuka. Rasa nak cubit-cubit pipi gadis itu. Namun, faktor kedudukan mereka yang agak jauh membataskan perbuatannya pada gadis itu. kalau dekat, dah lama kena. Peduli apa dia sekiranya Nurul Ain marah sekali pun. Nurul Ain menjeling tajam Arman Zafril yang tersengih.

            “ Okay okay. Abang nak ceritalah ni. Habis abang ‘story’, abang buka ‘qanda’. Ain boleh tanya soalan lepas tu,” Arman Zafril terdiam seketika. Memikir-mikir dari mana dia harus memulakan cerita. Sementara Nurul Ain pula sudah tidak sabar menanti lelaki itu membuka mulut. Pasti ada ‘kejadian besar’ yang menyebabkan lelaki itu menjadi anak angkat kepada keluarga Pak Ngah Ibrahim. Arman Zafril melontarkan pandangan jauh ke hadapan. Peristiwa kira-kira 2 tahun lalu kembali menerjah kotak fikirannya.



Selesai bermesyuarat petang itu, Arman Zafril mengambil keputusan untuk terus pulang ke Kuala Lumpur. Tidak betah lagi rasanya dia berada di situ setelah hampir seminggu dia ‘berkampung’ di Terengganu akibat menghadiri mesyuarat penting bersama beberapa orang ahli lembaga pengarah yang terlibat. Tan Sri Mokhtar dan Puan Sri Aleza ketika itu tiada di Malaysia. Kedua-duanya bercuti di New Zealand dan baru sahaja berangkat ke sana pada hari tersebut. Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, Arman Zafril kembali ke hotel penginapannya untuk mengemas barang-barang serta pakaian yang masih tertinggal di sana.

Setelah pasti tiada apa lagi yang tertinggal di dalam bilik tersebut, dia berbaring sekejap di atas katil untuk menghilangkan rasa lenguh di badan setelah hampir seharian ‘bertapa’ di dalam bilik mesyuarat. Terasa kejang seluruh ototnya akibat duduk terlalu lama. Jam tepat menunjukkan ke angka 3. 45 petang. Arman Zafril memejam mata buat seketika. Tanpa sedar dia terlena dengan keadaan kot yang masih terlekat kemas di tubuhnya.

Tiupan angin yang agak kuat serta titikan air yang samar-samar menjamah mukanya menyebabkan Arman Zafril terjaga dari tidur. Terpisat-pisat dia membuka mata. Teringatkan sesuatu, mata Arman Zafril terbuka luas. Automatik tubuhnya tegak di atas katil. Dia memandang sekilas ke arah tingkap hotel yang sedikit terbuka. Hujan renyai mula membasahi bumi. Semakin lama semakin lebat. Arman Zafril bingkas bangun menutup daun tingkap yang terbuka. Dia kemudian melirik jam di pergelangan tangan kanannya. Matanya terbeliak saat terpandangkan jarum jam yang sudah menunjukkan ke pukul 6.45 petang. Ya Allah! Dah pukul 6.45! Pukul berapa nak sampai KL ni? Arman Zafril menanggalkan jam tangan lalu dicampakkan ke atas katil. Sepantas kilat dia berlari ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Apa-apa pun, solat perlu diutamakan.



Usai solat, Arman Zafril duduk berteleku seketika di atas sejadah. Dalam kepalanya mencongak-congak masa dan jam berapa dia akan sampai di Kuala Lumpur sekiranya dia bertolak sekarang. Pasti jalan jammed memandangkan hari tersebut merupakan hari Khamis yakni hari bekerja. Waktu begini sudah tentu banyak kereta bersesak-sesak untuk ke destinasi masing-masing. Tambahan pula, waktu pejabat baru saja berakhir pada jam 5.00 tadi. Sudah pasti masih banyak kereta di jalan raya ketika ini. Arman Zafril mengeluh perlahan. Jam ditangan dikerling lagi. Pukul 7.00 petang. Dah alang-alang macam ni, baik gerak lepas maghrib ajelah. Akhirnya Arman Zafril mengambil keputusan untuk bertolak selepas waktu Maghrib sahaja. Dia kembali merebahkan tubuh ke atas katil sementara menunggu masuk waktu Maghrib. Kot di badan ditanggalkan dan diletakkan di atas bagasi.




Jam 9.00 malam. Arman Zafril meneguk air mineral botol kecil untuk yang entah ke berapa kali. Kepedasan selepas memakan nasi goreng cili api di restoran Selera Timur beberapa minit tadi masih terasa. Serasa tidak cukup sebotol air mineral yang dibeli di kedai runcit tadi. Aku cakap pedas sikit aje, ni berapa kilo cili tukang masak tu letak agaknya. Hampeh betul! Perli aku ke apa? Gerutunya geram. Air mata yang mengalir di pipi dikesat dengan belakang tangan. Pedas punya pasal, habis hilang macho aku!

            Setelah beberapa minit, rasa pedas di lidahnya mula menghilang sedikit demi sedikit. Botol mineral yang telah kosong dicampak ke bawah seat. Peluh yang membasahi badannya mulai kering dek kerana kedinginan penghawa dingin kereta yang dipasang di tahap maximum. Arman Zafril merasakan tubuhnya yang masih dibaluti kemeja pejabat sedikit menggigil. Kereta diberhentikan sebaik sahaja melalui lampu isyarat yang baru bertukar merah. Arman Zafril mengambil kesempatan itu untuk menyarung blazer yang disidai di sebelah seat pemandu. Penghawa dingin kereta dikurangkan ke level satu. Baru dia berasa selesa untuk meneruskan pemanduan. Hujan yang tadinya sudah berhenti mula merintik kembali.

            Arman Zafril meneruskan pemanduan setelah lampu isyarat bertukar warna. Hujan yang turun semakin lebat sedikit membataskan pemanduannya. Arman Zafril memandu dengan sangat berhati-hati. Dalam hatinya ingin cepat sampai ke Kuala Lumpur namun keadaan cuaca serta jalan yang licin membataskan segalanya. Blackberry Bold 5 di atas dashboard dicapai. No network coverage. Arman Zafril mengeluh perlahan. Kalau hujan, inilah keburukannya.

            Dua jam berlalu. Arman Zafril melintasi UITM Dungun. Dia memecut keretanya apabila mendapati line clear di sepanjang jalan tersebut. Hujan yang turun semakin lebat tidak diendahkan lagi. Di dalam perjalanan, Arman Zafril mula terasa pandangannya sedikit berpinar-pinar. Bahagian kiri kepalanya terasa berdenyut-denyut. Dia masih meneruskan pemanduannya tanpa berniat untuk berhenti di mana-mana. Sangkanya sakit itu hanya sementara dan mungkin akan berkurangan namun telahannya silap. Kepalanya dirasakan semakin sakit seperti ada sesuatu yang mencengkam kepalanya dengan kuat. Arman Zafril meramas bahagian kiri kepalanya. Air mata yang mengalir di pipi tidak mampu dikesat lagi. Dapat dirasakan pandangannya semakin kabur. Seketika kemudian dia langsung tidak sedarkan diri tanpa sempat dia memberhentikan keretanya. Telinganya sempat menangkap bunyi dentuman yang kuat sebelum dunianya menjadi gelap gelita.




Nurul Ain termangu di tempatnya. Cerita yang disampaikan Arman Zafril benar-benar mengejutkannya. Tidak disangka penyakit ‘migrain’ lelaki itu teruk juga sehinggakan telah melibatkan lelaki itu dalam kemalangan. Mindanya terus terkenangkan peristiwa di mana Arman Zafril diserang migraine ketika pulang dari Dungun dan kerana itulah dia terpaksa memandu kereta lelaki itu pulang ke Kuala Lumpur. Kesiannya..terbit rasa simpati kepada Arman Zafril.

            “ Lepas tu, bila abang sedar, abang dah ada dekat hospital. Kepala dah berbalut semua, then bila tengok abang dah sedar, nurse berlari keluar dari wad tu. Tak lama lepas tu, muncul seorang pak cik dengan mak cik yang lebih kurang sebaya papa dengan mama. Dia orang perkenalkan diri sebagai Pak Ngah Ibrahim dan Mak Ngah Senah,” cerita Arman Zafril lagi. Masih jelas kejadian itu terakam di kotak memorinya walaupun sudah dua tahun perkara itu berlalu. Nasib sahaja umurnya panjang, jika tidak mungkin dia sudah terkorban dalam kemalangan itu. Nurul Ain masih mendengar dengan penuh minat. Dia langsung tidak pernah tahu akan hal itu. Bukan dia tidak mahu ambil tahu, terdetik juga dalam hatinya ingin menanyakan perkara tersebut, namun factor masa telah membataskan segalanya.

            “ Tiga hari selepas tu abang dibenarkan balik. Mak dengan abah bawa abang balik rumah dia orang kat Dungun. Handphone Blackberry abang tak tahu dekat mana. Masa kemalangan tu, seingat abang, abang letak atas dashboard kereta. Tapi, mak cakap, cermin kereta depan habis pecah. Masa kren angkat kereta tu pun, abah cakap tak ada handphone dalam kereta tu. Mungkin tercampak keluar masa abang rempuh pokok malam tu. So, abang tak dapat nak hubungi papa dengan mama, lagipun dia orang ada kat New Zealand masa tu. Doktor kata pun luka abang tak serius sangat, tak ada yang perlu dirisaukan,” Arman Zafril berjeda seketika sebelum kembali menyambung ceritanya. Nurul Ain hanya diam merenung lelaki itu dengan pelbagai rasa. Kisah Arman Zafril benar-benar menyentuh hati wanitanya.

            “ Abang stay dekat rumah mak dengan abah dalam seminggu. Papa dengan mama pergi New Zealand almost two weeks. Abang cuma simpan nombor office je kat dalam wallet. Nombor papa abang tak ingat. Kad business papa pun abang tak simpan. The other day, abang call office. Abang beritahu Faizul pasal accident tu. Dia terkejut. Petang tu juga dia datang ambil abang kat Dungun,” Arman Zafril tersenyum kecil menampakkan lesung pipitnya sebaik sahaja menamatkan cerita. Nurul Ain yang sedari tadi tidak lepas merenung seraut wajah kacak dihadapannya terpana seketika. Tidak dapat dinafikan yang lelaki itu mempunyai aura yang kuat untuk memikat hati wanita. Senyumannya sahaja mampu mencairkan sesiapa yang melihatnya. Ditambah pula dengan pakej wajah yang sangat tampan, berkulit agak cerah, tidak terlalu gelap juga sedikit persis pelakon terkenal Adi Putra lagi menambahkan kekacakan serta menyumbang kepada pakej lengkap seorang lelaki. Nurul Ain cepat-cepat membuang pandang ke tengah kolam sebelum ‘terkantoi’. Dari tadi, di situlah tempat dia mencuci mata sehingga kelibat Pak Dul yang tadinya asyik menggunting pokok pagar sudah tidak kelihatan. Mana Pak Dul pergi?

            “ Start dari hari tu, abang anggap mak dengan abah dah macam mak dengan ayah kandung abang sendiri. Abang dah terhutang budi pada mereka. Kalau dia orang tak ada waktu tu, mungkin abang dah mati. Kalau abang mati, tak dapatlah abang kahwin dengan Ain,” Nurul Ain terkedu dengan kata-kata Arman Zafril. Sementara lelaki itu sudah meletuskan tawanya. Nurul Ain merenung dengan pandangan tajam. Entah kenapa kata-kata lelaki itu tadi sedikit menjentik hati wanitanya. Perasaannya berdebar-debar. Sungguh, dia tidak suka mendengar sebaris ayat itu, tambahan pula ada kena-mengena dengan mati. Kalau lah Arman Zafril tahu yang perasaan sayang sudah lama bercambah dalam hati Nurul Ain untuk dirinya…tidak sanggup dia kehilangan lelaki itu. Tidak!

            “ Ada apa-apa lagi tak yang Ain nak tanya?” suara Arman Zafril yang kedengaran mengembalikan Nurul Ain ke alam nyata. Dia menggeleng. Arman Zafril merenungnya tepat. Kenapa comel sangat dia ni? Dahlah putih gebu, melepak. Arman Zafril menahan perasaan jiwanya yang kian bergelodak. Tidak tentu arah dia dibuatnya apabila berdua-duan dengan Nurul Ain. Ini belum lagi di dalam bilik. Haish! Arman Zafril mengeluh perlahan buat kesekian kalinya. Entah bila dia dapat mengikat gadis itu menjadi ‘hak milik kekal’ nya, dia sendiri tiada jawapan. Sikap dingin yang selalu dipamerkan Nurul Ain padanya sering sahaja membuatkan dia berasa tertekan namun tidak pernah sesekali dia menunjukkan perasaan itu pada Nurul Ain. Dia rela bersabar, dan apa yang pasti waktu dan ketika itu akan tiba jua satu hari nanti. Dia pasti!

Friday 18 April 2014

Kalau ada msa terluang, follow saya di instagram...... 'farahsaini'





missnelayanvsce0,,,,

salam satu malaysia...

Assamualaikum wbt...hai,,apa khabar semua kwn2, dn penyokong setia nelayan vs ce0..harap anda semua sihat..lame dh x jenguk blog nie...pertama skali, sy nk mhn maaf byk2 pd semua sbb xrply msg..sy jarang buka blog dh skrg ni..sbb sy sibuk menyiapkan manuskrip penuh nelayan vs ce0...tggl lg sikit sebelum sy hntr kpd pihak publisher,,sy mhn maaf sgt2..sbb x dpt rply ,msg anda semua..:-(...insyaallah, ada rezeki, keluarlah novel nie satu hari nnti...apa pun, trm ksh byk2 kpd semua yg msh menyokong dn menantikan kemunculan novel sulung sy yg x seberapa ini...


kepada sesiapa yg cuba untuk buka blog ini, sy minta maaf sbb sy dh delete untuk semua chpter sbb sy berhadapan dgn masalah trtnu yg x dpt dielakkan...jd sy trpksa padam kesemuanya..bg yg belum membacanya, blh baca di penulisan2u smpai bab 21..


kpd sesiapa yg mncari2 instagram sy, maaf juga sbb sy dh delete nya...sbb trtntu...tp, sy dh buat semula..kwn2 semua blh la cek nnti yerr...mgkn kte bleh jd kwn baik...insyaallah...:-))...name isntagram sy, farahsaini....akhir kata, tggu kemunculan nelayan vs ce0 yerr...wassalam,,,




missnelayanvsce0