Pages

out of mind!

out of mind!

Tuesday 23 September 2014

SEDUTAN NELAYAN VS CE0...


Nurul Ain sedang duduk di kerusi batu menghadap kolam renang ketika Arman Zafril sampai di rumah lewat petang itu. Sudah masuk tiga hari dia tidak bekerja. Dia terpaksa menyambung cuti kerana kejadian malang yang menimpanya semalam. Nasib baik syarikat ‘bapak’ sendiri. Kalau syarikat orang, mahunya dia dikenakan tindakan disiplin akibat cuti secara tiba-tiba. Kedengaran keluhan kecil dilepaskan.

 Kakinya yang masih berbalut dengan bandage diluruskan menghadap kolam renang. Dia hanya mengenakan tshirt lengan panjang adidas berwarna hijau serta seluar trek hitam juga tudung Syria hitam. Jika dilihat, tak ubah seperti gadis belasan tahun disebabkan wajahnya yang persis keanak-anakkan itu. Nurul Ain membuang pandang ke arah tengah kolam. Dari tempat dia duduk, kelihatan tukang kebun yang dikenali sebagai Pak Dul sedang menggunting pokok pagar yang mengelilingi kawasan rumah tersebut di mana ianya terletak berhampiran dengan pagar  batu setinggi satu meter itu. Nurul Ain ralit memerhati kerja menggunting yang dilakukan Pak Dul sehinggakan kehadiran seseorang di belakangnya langsung dia tidak sedari.

            “ Hai..jauh termenung,” tegur satu suara. Nurul Ain tersentak. Dia berpaling ke belakang. Seketika dia mengukir senyum nipis. Debaran di dada mula terasa. Ish apasal ni? Arman Zafril mengambil tempat di hadapannya sekaligus menghadang penglihatan Nurul Ain dari terus memerhatikan Pak Dul.

            “ Kaki dah okey?” tanya Arman Zafril seraya menanggalkan kot yang masih melekat ditubuhnya lalu diletakkan di atas meja batu. Nafas ditarik seketika sebelum menghembusnya dengan sedikit kuat demi melepaskan kepenatan akibat seharian bekerja pada hari itu. Arman Zafril kemudian menanggalkan butang baju kemeja satu persatu serta tali leher yang masih terikat kemas ditengkuknya. Kini tinggal tshirt hitam nipis yang membaluti tubuhnya yang sasa. Nurul Ain hanya memerhati tanpa sepatah kata. Teringatkan pertanyaan lelaki itu yang masih belum dijawab, Nurul Ain berdehem kecil seketika. Tangannya memusing-musing I-phone yang dipegang di atas meja.

            “ Dah okey sikit. Cuma nak berjalan tu, ada la lagi rasa sakit sikit-sikit. Tapi bengkak dia rasa macam dah surut,” beritahu Nurul Ain sambil matanya tidak lepas memandang kaki yang dilunjurkan lurus di atas kerusi. Dia berasa segan sebenarnya kerana terpaksa duduk dalam keadaan begitu, namun dia terpaksa. Hendak dijatuhkan kakinya, nanti terasa sakit pula. Mahu tidak mahu terpaksalah dia duduk dalam keadaan begitu.

            “ Sini, abang tengok kaki tu,” Arman Zafril sudah bergerak merapati kaki Nurul Ain. Tanpa isyarat, dia terus menyentuh kaki gadis itu. Nurul Ain yang nyata tidak bersedia dengan situasi itu tersentak. Mahu saja ditarik kakinya dari pegangan Arman Zafril namun khuatir lelaki itu berkecil hati pula. Bukan dia tidak suka, tetapi dia memang tidak tahan geli.

            Perlahan-lahan Arman Zafril membuka penyepit bandage di kaki Nurul Ain. Gulungan bandage yang membaluti kaki gadis itu dileraikan perlahan-lahan. Berkerut-kerut wajah Nurul Ain menahan geli. Sekejap-sekejap Arman Zafril perasan yang Nurul Ain cuba menarik kakinya beberapa kali.

            “ Kenapa? Sakit ke?” soalnya sedikit bimbang. Nurul Ain pantas menggeleng.
       
            “ Tak sakit, tapi geli,”

            “ Tak tahan geli eh? Dah siap!” ucap Arman Zafril lalu meletakkan bandage yang telah dibuka tadi ke atas meja batu. Kemudian matanya tertancap lama pada kaki Nurul Ain yang putih melepak. Arman Zafril menelan liur. Jantungnya mula terasa berdebar saat terpandangkan kulit gadis itu yang licin gebu dan bersinar-sinar. Hatinya mula rasa gelisah. Kesan bengkak di kaki gadis itu sudah surut. Arman Zafril berdehem kecil bagi melindungi gelodak perasaannya yang kian tidak menentu. Nurul Ain langsung tidak perasan akan keadaan itu.

            “ Dah okey ni abang tengok. Tak bengkak macam semalam. Tak perlu pakai bandage lagi kut,” ucapnya memberi pendapat. Nurul Ain yang turut bersetuju dengan pendapat Arman Zafril hanya mengangguk.

            “ Thanks. Sorry sebab dah menyusahkan awak,” ucap Nurul Ain dengan rasa serba salah. Yalah, disebabkan kejadian yang menimpanya, Arman Zafril terpaksa mengambilnya di pusat bowling semalam. Kalau dekat tak apalah juga, ini boleh tahan jauhnya.

            “ Tak ada apalah. Ain kan di bawah tanggungjawab abang. Erm..by the way..macam mana bola boling tu boleh terhempap kaki? Baling atas kaki ke apa?” Arman Zafril sembunyi senyum yang hendak terbit di bibirnya. Dia rasa lucu dengan kata-kata sindirannya sendiri kepada gadis itu. Tiba-tiba terdetik di mindanya untuk menyakat Nurul Ain. Sudah lama dia tidak berbuat begitu rasanya. Nurul Ain yang terasa tersindir dengan kata-kata Arman Zafril hanya menayangkan muka selamba. Dia berpura-pura sibuk meneliti i-phone ditangan.

            “ Lantai tu licin kut masa saya nak buat balingan. Tu yang tak dapat nak balance, then terjatuh atas kaki bola tu..” Nurul Ain mereka alasan. Pantas sahaja akalnya mendapat idea bagi menjawab soalan lelaki yang sedari tadi tidak sudah-sudah merenungnya. Mana mungkin dia menceritakan yang dia sengaja membuat balingan menggunakan bola yang paling berat. Di mana hendak diletakkan mukanya nanti. Pasti malu besar. Kena bebel lagi!Haissh! Nurul Ain masih ralit menilik skrin telefon tanpa sedikit pun memandang Arman Zafril di hadapannya. Arman Zafril yang mendengar ‘cerita’ Nurul Ain hanya tersenyum. Usik lebih-lebih nanti panjang pula ceritanya.

            “ Ain..Ain..lain kali hati-hati. Orang lain main boling jugak, tapi tak adalah sampai terhempap kaki sendiri. Nasib baik tak teruk sangat tau semalam. Kalau tak, tak tahulah macam mana. Silap- silap pakai tongkat dah Ain hari ni,” Arman Zafril menghamburkan tawa kecilnya. Tidak dapat dia membayangkan jika gadis di hadapannya berjalan menggunakan tongkat. Pasti kelakar. Nurul Ain yang mendengar hanya mencebik. Malas dia mahu membalas kata-kata Arman Zafril itu. Kesudahannya nanti dia sendiri yang sakit hati.

            Nurul Ain merenung Arman Zafril yang dilihatnya masih tersenyum-senyum. Dalam kepalanya terfikirkan sesuatu. ‘Sesuatu’ yang sudah lama hendak ditanyakan kepada lelaki itu namun tiada masa yang sesuai. Mungkin inilah saat yang dirasakan paling sesuai untuk bertanyakan hal tersebut. Nurul Ain berdehem kecil seketika.

            “ Boleh saya tanya sesuatu?” Arman Zafril angkat kening.

            “ Ain nak tanya apa?”

          “ Macam mana awak boleh jadi anak angkat mak dengan abah?” Arman Zafril terdiam seketika. Lama dia memandang wajah comel di hadapannya sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia tidak terkejut dengan soalan itu malah dia sudah dapat mengagak yang Nurul Ain pasti akan bertanyakan hal itu suatu hari nanti cuma masanya sahaja yang dia tidak tahu bila.

            “ Penting ke untuk Ain tahu?” Nurul Ain tersentak. Pantas kepalanya mendongak memandang Arman Zafril di hadapan. Mata bundarnya menikam tepat ke dalam anak mata hazel milik Arman Zafril. Hati wanitanya sedikit terasa dengan soalan yang diutarakan lelaki itu tadi. Wajah yang tadinya putih bersih kini sudah kemerah-merahan menahan malu. Arman Zafril nampak dengan jelas perubahan pada riak wajah Nurul Ain. Dia sengaja berkata begitu kerana ingin menguji sejauh mana perasaan Nurul Ain padanya juga sejauh mana pentingnya dirinya pada gadis itu.

            “ Kalau awak tak nak beritahu, tak apalah. Saya tak kisah pun,” balas Nurul Ain perlahan. Pandangannya dihalakan ke tengah kolam. Dalam hatinya sudah rasa mahu menangis, namun ditahan air mata dari keluar. Dia benar-benar terasa dengan kata-kata Arman Zafril tadi. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menjawab, ya, tersangat penting untuk dia mengetahui perihal lelaki itu namun ego wanitanya menghalang. Arman Zafril mula rasa serba salah. Tubuhnya ditegakkan dari bersandar di kerusi. Raut wajah yang kelihatan seperti merajuk itu direnung sayang.

            “ Ain..abang main-main ajelah. Sensitif sangat Ain sekarang ni ya?” usik Arman Zafril yang sudah tergelak melihat wajah Nurul Ain yang masam mencuka. Rasa nak cubit-cubit pipi gadis itu. Namun, faktor kedudukan mereka yang agak jauh membataskan perbuatannya pada gadis itu. kalau dekat, dah lama kena. Peduli apa dia sekiranya Nurul Ain marah sekali pun. Nurul Ain menjeling tajam Arman Zafril yang tersengih.

            “ Okay okay. Abang nak ceritalah ni. Habis abang ‘story’, abang buka ‘qanda’. Ain boleh tanya soalan lepas tu,” Arman Zafril terdiam seketika. Memikir-mikir dari mana dia harus memulakan cerita. Sementara Nurul Ain pula sudah tidak sabar menanti lelaki itu membuka mulut. Pasti ada ‘kejadian besar’ yang menyebabkan lelaki itu menjadi anak angkat kepada keluarga Pak Ngah Ibrahim. Arman Zafril melontarkan pandangan jauh ke hadapan. Peristiwa kira-kira 2 tahun lalu kembali menerjah kotak fikirannya.



Selesai bermesyuarat petang itu, Arman Zafril mengambil keputusan untuk terus pulang ke Kuala Lumpur. Tidak betah lagi rasanya dia berada di situ setelah hampir seminggu dia ‘berkampung’ di Terengganu akibat menghadiri mesyuarat penting bersama beberapa orang ahli lembaga pengarah yang terlibat. Tan Sri Mokhtar dan Puan Sri Aleza ketika itu tiada di Malaysia. Kedua-duanya bercuti di New Zealand dan baru sahaja berangkat ke sana pada hari tersebut. Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, Arman Zafril kembali ke hotel penginapannya untuk mengemas barang-barang serta pakaian yang masih tertinggal di sana.

Setelah pasti tiada apa lagi yang tertinggal di dalam bilik tersebut, dia berbaring sekejap di atas katil untuk menghilangkan rasa lenguh di badan setelah hampir seharian ‘bertapa’ di dalam bilik mesyuarat. Terasa kejang seluruh ototnya akibat duduk terlalu lama. Jam tepat menunjukkan ke angka 3. 45 petang. Arman Zafril memejam mata buat seketika. Tanpa sedar dia terlena dengan keadaan kot yang masih terlekat kemas di tubuhnya.

Tiupan angin yang agak kuat serta titikan air yang samar-samar menjamah mukanya menyebabkan Arman Zafril terjaga dari tidur. Terpisat-pisat dia membuka mata. Teringatkan sesuatu, mata Arman Zafril terbuka luas. Automatik tubuhnya tegak di atas katil. Dia memandang sekilas ke arah tingkap hotel yang sedikit terbuka. Hujan renyai mula membasahi bumi. Semakin lama semakin lebat. Arman Zafril bingkas bangun menutup daun tingkap yang terbuka. Dia kemudian melirik jam di pergelangan tangan kanannya. Matanya terbeliak saat terpandangkan jarum jam yang sudah menunjukkan ke pukul 6.45 petang. Ya Allah! Dah pukul 6.45! Pukul berapa nak sampai KL ni? Arman Zafril menanggalkan jam tangan lalu dicampakkan ke atas katil. Sepantas kilat dia berlari ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Apa-apa pun, solat perlu diutamakan.



Usai solat, Arman Zafril duduk berteleku seketika di atas sejadah. Dalam kepalanya mencongak-congak masa dan jam berapa dia akan sampai di Kuala Lumpur sekiranya dia bertolak sekarang. Pasti jalan jammed memandangkan hari tersebut merupakan hari Khamis yakni hari bekerja. Waktu begini sudah tentu banyak kereta bersesak-sesak untuk ke destinasi masing-masing. Tambahan pula, waktu pejabat baru saja berakhir pada jam 5.00 tadi. Sudah pasti masih banyak kereta di jalan raya ketika ini. Arman Zafril mengeluh perlahan. Jam ditangan dikerling lagi. Pukul 7.00 petang. Dah alang-alang macam ni, baik gerak lepas maghrib ajelah. Akhirnya Arman Zafril mengambil keputusan untuk bertolak selepas waktu Maghrib sahaja. Dia kembali merebahkan tubuh ke atas katil sementara menunggu masuk waktu Maghrib. Kot di badan ditanggalkan dan diletakkan di atas bagasi.




Jam 9.00 malam. Arman Zafril meneguk air mineral botol kecil untuk yang entah ke berapa kali. Kepedasan selepas memakan nasi goreng cili api di restoran Selera Timur beberapa minit tadi masih terasa. Serasa tidak cukup sebotol air mineral yang dibeli di kedai runcit tadi. Aku cakap pedas sikit aje, ni berapa kilo cili tukang masak tu letak agaknya. Hampeh betul! Perli aku ke apa? Gerutunya geram. Air mata yang mengalir di pipi dikesat dengan belakang tangan. Pedas punya pasal, habis hilang macho aku!

            Setelah beberapa minit, rasa pedas di lidahnya mula menghilang sedikit demi sedikit. Botol mineral yang telah kosong dicampak ke bawah seat. Peluh yang membasahi badannya mulai kering dek kerana kedinginan penghawa dingin kereta yang dipasang di tahap maximum. Arman Zafril merasakan tubuhnya yang masih dibaluti kemeja pejabat sedikit menggigil. Kereta diberhentikan sebaik sahaja melalui lampu isyarat yang baru bertukar merah. Arman Zafril mengambil kesempatan itu untuk menyarung blazer yang disidai di sebelah seat pemandu. Penghawa dingin kereta dikurangkan ke level satu. Baru dia berasa selesa untuk meneruskan pemanduan. Hujan yang tadinya sudah berhenti mula merintik kembali.

            Arman Zafril meneruskan pemanduan setelah lampu isyarat bertukar warna. Hujan yang turun semakin lebat sedikit membataskan pemanduannya. Arman Zafril memandu dengan sangat berhati-hati. Dalam hatinya ingin cepat sampai ke Kuala Lumpur namun keadaan cuaca serta jalan yang licin membataskan segalanya. Blackberry Bold 5 di atas dashboard dicapai. No network coverage. Arman Zafril mengeluh perlahan. Kalau hujan, inilah keburukannya.

            Dua jam berlalu. Arman Zafril melintasi UITM Dungun. Dia memecut keretanya apabila mendapati line clear di sepanjang jalan tersebut. Hujan yang turun semakin lebat tidak diendahkan lagi. Di dalam perjalanan, Arman Zafril mula terasa pandangannya sedikit berpinar-pinar. Bahagian kiri kepalanya terasa berdenyut-denyut. Dia masih meneruskan pemanduannya tanpa berniat untuk berhenti di mana-mana. Sangkanya sakit itu hanya sementara dan mungkin akan berkurangan namun telahannya silap. Kepalanya dirasakan semakin sakit seperti ada sesuatu yang mencengkam kepalanya dengan kuat. Arman Zafril meramas bahagian kiri kepalanya. Air mata yang mengalir di pipi tidak mampu dikesat lagi. Dapat dirasakan pandangannya semakin kabur. Seketika kemudian dia langsung tidak sedarkan diri tanpa sempat dia memberhentikan keretanya. Telinganya sempat menangkap bunyi dentuman yang kuat sebelum dunianya menjadi gelap gelita.




Nurul Ain termangu di tempatnya. Cerita yang disampaikan Arman Zafril benar-benar mengejutkannya. Tidak disangka penyakit ‘migrain’ lelaki itu teruk juga sehinggakan telah melibatkan lelaki itu dalam kemalangan. Mindanya terus terkenangkan peristiwa di mana Arman Zafril diserang migraine ketika pulang dari Dungun dan kerana itulah dia terpaksa memandu kereta lelaki itu pulang ke Kuala Lumpur. Kesiannya..terbit rasa simpati kepada Arman Zafril.

            “ Lepas tu, bila abang sedar, abang dah ada dekat hospital. Kepala dah berbalut semua, then bila tengok abang dah sedar, nurse berlari keluar dari wad tu. Tak lama lepas tu, muncul seorang pak cik dengan mak cik yang lebih kurang sebaya papa dengan mama. Dia orang perkenalkan diri sebagai Pak Ngah Ibrahim dan Mak Ngah Senah,” cerita Arman Zafril lagi. Masih jelas kejadian itu terakam di kotak memorinya walaupun sudah dua tahun perkara itu berlalu. Nasib sahaja umurnya panjang, jika tidak mungkin dia sudah terkorban dalam kemalangan itu. Nurul Ain masih mendengar dengan penuh minat. Dia langsung tidak pernah tahu akan hal itu. Bukan dia tidak mahu ambil tahu, terdetik juga dalam hatinya ingin menanyakan perkara tersebut, namun factor masa telah membataskan segalanya.

            “ Tiga hari selepas tu abang dibenarkan balik. Mak dengan abah bawa abang balik rumah dia orang kat Dungun. Handphone Blackberry abang tak tahu dekat mana. Masa kemalangan tu, seingat abang, abang letak atas dashboard kereta. Tapi, mak cakap, cermin kereta depan habis pecah. Masa kren angkat kereta tu pun, abah cakap tak ada handphone dalam kereta tu. Mungkin tercampak keluar masa abang rempuh pokok malam tu. So, abang tak dapat nak hubungi papa dengan mama, lagipun dia orang ada kat New Zealand masa tu. Doktor kata pun luka abang tak serius sangat, tak ada yang perlu dirisaukan,” Arman Zafril berjeda seketika sebelum kembali menyambung ceritanya. Nurul Ain hanya diam merenung lelaki itu dengan pelbagai rasa. Kisah Arman Zafril benar-benar menyentuh hati wanitanya.

            “ Abang stay dekat rumah mak dengan abah dalam seminggu. Papa dengan mama pergi New Zealand almost two weeks. Abang cuma simpan nombor office je kat dalam wallet. Nombor papa abang tak ingat. Kad business papa pun abang tak simpan. The other day, abang call office. Abang beritahu Faizul pasal accident tu. Dia terkejut. Petang tu juga dia datang ambil abang kat Dungun,” Arman Zafril tersenyum kecil menampakkan lesung pipitnya sebaik sahaja menamatkan cerita. Nurul Ain yang sedari tadi tidak lepas merenung seraut wajah kacak dihadapannya terpana seketika. Tidak dapat dinafikan yang lelaki itu mempunyai aura yang kuat untuk memikat hati wanita. Senyumannya sahaja mampu mencairkan sesiapa yang melihatnya. Ditambah pula dengan pakej wajah yang sangat tampan, berkulit agak cerah, tidak terlalu gelap juga sedikit persis pelakon terkenal Adi Putra lagi menambahkan kekacakan serta menyumbang kepada pakej lengkap seorang lelaki. Nurul Ain cepat-cepat membuang pandang ke tengah kolam sebelum ‘terkantoi’. Dari tadi, di situlah tempat dia mencuci mata sehingga kelibat Pak Dul yang tadinya asyik menggunting pokok pagar sudah tidak kelihatan. Mana Pak Dul pergi?

            “ Start dari hari tu, abang anggap mak dengan abah dah macam mak dengan ayah kandung abang sendiri. Abang dah terhutang budi pada mereka. Kalau dia orang tak ada waktu tu, mungkin abang dah mati. Kalau abang mati, tak dapatlah abang kahwin dengan Ain,” Nurul Ain terkedu dengan kata-kata Arman Zafril. Sementara lelaki itu sudah meletuskan tawanya. Nurul Ain merenung dengan pandangan tajam. Entah kenapa kata-kata lelaki itu tadi sedikit menjentik hati wanitanya. Perasaannya berdebar-debar. Sungguh, dia tidak suka mendengar sebaris ayat itu, tambahan pula ada kena-mengena dengan mati. Kalau lah Arman Zafril tahu yang perasaan sayang sudah lama bercambah dalam hati Nurul Ain untuk dirinya…tidak sanggup dia kehilangan lelaki itu. Tidak!

            “ Ada apa-apa lagi tak yang Ain nak tanya?” suara Arman Zafril yang kedengaran mengembalikan Nurul Ain ke alam nyata. Dia menggeleng. Arman Zafril merenungnya tepat. Kenapa comel sangat dia ni? Dahlah putih gebu, melepak. Arman Zafril menahan perasaan jiwanya yang kian bergelodak. Tidak tentu arah dia dibuatnya apabila berdua-duan dengan Nurul Ain. Ini belum lagi di dalam bilik. Haish! Arman Zafril mengeluh perlahan buat kesekian kalinya. Entah bila dia dapat mengikat gadis itu menjadi ‘hak milik kekal’ nya, dia sendiri tiada jawapan. Sikap dingin yang selalu dipamerkan Nurul Ain padanya sering sahaja membuatkan dia berasa tertekan namun tidak pernah sesekali dia menunjukkan perasaan itu pada Nurul Ain. Dia rela bersabar, dan apa yang pasti waktu dan ketika itu akan tiba jua satu hari nanti. Dia pasti!

Friday 18 April 2014

Kalau ada msa terluang, follow saya di instagram...... 'farahsaini'





missnelayanvsce0,,,,

salam satu malaysia...

Assamualaikum wbt...hai,,apa khabar semua kwn2, dn penyokong setia nelayan vs ce0..harap anda semua sihat..lame dh x jenguk blog nie...pertama skali, sy nk mhn maaf byk2 pd semua sbb xrply msg..sy jarang buka blog dh skrg ni..sbb sy sibuk menyiapkan manuskrip penuh nelayan vs ce0...tggl lg sikit sebelum sy hntr kpd pihak publisher,,sy mhn maaf sgt2..sbb x dpt rply ,msg anda semua..:-(...insyaallah, ada rezeki, keluarlah novel nie satu hari nnti...apa pun, trm ksh byk2 kpd semua yg msh menyokong dn menantikan kemunculan novel sulung sy yg x seberapa ini...


kepada sesiapa yg cuba untuk buka blog ini, sy minta maaf sbb sy dh delete untuk semua chpter sbb sy berhadapan dgn masalah trtnu yg x dpt dielakkan...jd sy trpksa padam kesemuanya..bg yg belum membacanya, blh baca di penulisan2u smpai bab 21..


kpd sesiapa yg mncari2 instagram sy, maaf juga sbb sy dh delete nya...sbb trtntu...tp, sy dh buat semula..kwn2 semua blh la cek nnti yerr...mgkn kte bleh jd kwn baik...insyaallah...:-))...name isntagram sy, farahsaini....akhir kata, tggu kemunculan nelayan vs ce0 yerr...wassalam,,,




missnelayanvsce0

Sunday 4 August 2013

cerpen 'Cinta soda And Ice tea'

Cerpen : Cinta Soda And Ice Tea


( PART  I )


Muhammad Khazafran Shah. Semua orang memanggilnya ‘Shah’. Seorang juruterbang MAS. Berperwatakan menarik. Mempunyai tubuh yang tegap tetapi sedikit ala-ala model. Sangat gemar meminum Soda. Kalau sehari tak minum, tak sah. Seorang yang berdikari, tidak suka bergantung hidup pada keluarga. Mempunyai dua orang adik beradik. Merupakan anak bongsu dalam keluarga. 

***************

Jam loceng di atas meja kecil berbunyi nyaring. Dengan malas Shah mencapai jam tersebut lalu dia mematikan bunyi alarm. Dia merengus kuat. ‘Kacau betullah! Aku baru je nak layan feel..’ Dia bangun lalu duduk di atas katil. Terpisat-pisat matanya meliar ke sekeliling bilik. Shah bangun. Dengan hanya berseluar pendek tanpa baju di badan, langkahnya terus menuju ke tingkat bawah. Mana lagi, kalau bukan ke dapur.
            “ Mak Jah, Mak Jah dah order tak yang saya pesan tu?” soalnya yang masih dalam mamai.
            Mak jah yang sedang menyusun pinggan di atas rak berpaling.
            “ Dah Shah. Semalam lagi Mak Jah order,” jawab Mak Jah laju. Shah senyum. Berpuas hati dengan jawapan Mak Jah.
            “ Thanks Mak Jah, saaayang Mak jah!” ucap Shah meleret manja. Dia naik ke biliknya semula. Mak Jah hanya mampu menggelengkan kepalanya. Shah, Shah…desisnya.   


***************

“ Nuar, macam biasa ya, Bukit Kiara!” laung Puan Maznah kuat dari dalam pejabatnya. Dia yang sedang sibuk menaip sesuatu di papan kekunci komputer tidak dapat bertemu muka dengan pekerja bawahannya itu disebabkan kerja yang bertimbun di pejabat. Banyak maklumat yang terpaksa dikemaskinikan berikutan juruaudit akan datang ke kilang tersebut untuk membuat pemantauan dalam masa dua minggu lagi.
            “ Alright kak, roger!” balas Anuar dengan nada yang sama lantas mengangkat dua kotak minuman yang tertulis Soda dan Ice Tea pada kotak berkenaan. Hari ini Anuar hanya menggunakan motosikal untuk menghantar barang, memandangkan hanya dua kotak minuman yang dibawanya. Leceh kalau bawak van. Kotak yang berisi dua kotak minuman diikat kemas pada seat belakang motosikal Ex5. Selesai, motosikal terus bergerak menuju ke destinasi.

***********************


“Ma, Diana ingat macam malas je nak pergi kelas hari ni. Penatlah ma..” adu Diana Nazirah kepada mamanya, Puan Zafirah.
            “ Apa nak jadi dengan Diana ni ha? Semalam dahlah balik lewat. Diana pergi clubbing lagi kan? Ingat mama tak tahu?” Puan Zafirah menempelak. Siap dengan mata-mata sekali dijegilkan kepada anak perempuan kesayangannya itu.  Marah betul dia pabila mengetahui Diana balik lewat malam tadi kerana pergi melepak di kelab malam. Masih dengan tabiat lama!
            “ Ala ma..Diana bukan buat benda tak elok pun ma..pergi lepak, minum. Tu aje..minum pun bukan bukan arak ke apa, minum ice tea je ma. Bukannya mama tak tahu anak mama ni tak minum air lain,” jawab Diana membela diri. Dia masih berbaring di sofa panjang.
            Puan Zafirah mengerutkan keningnya. ‘Ada ke jual ice tea kat kelab malam?’
            “ Mama tak kira, apa yang mama tahu, pergi clubbing tu pun dah tak baik tau, dah macam perempuan jalang dah. Banyak lagi tempat lain boleh pergi. Sekarang mama tak nak dengar apa-apa. Pergi siap cepat, pergi kelas!” tegas Puan Zafirah bersuara. Diana gerun.
            “ Ma, hari ni je ma..” Diana merayu. Dia duduk tegak di atas sofa. Mukanya jelas kelihatan yang dia mengantuk. Mana tak mengantuk, semalaman tak tidur.
            “ Diana, mama kata pergi kelas, maksudnya Diana kena pergi kena. Tu, seluar tu. Dah macam-macam trend dah sekarang ni. Seluar K-pop lah, apalah. Macam-macam colour! Ingat cantik sangatlah tu. Lepas ni mama tak nak tengok Diana pakai seluar colour-colour tu lagi. Pergi mandi!” Puan Zafirah sudah mula membebel panjang. Dia betul-betul tidak berkenan dengan dress up anaknya itu. Langsung tidak sopan baginya. Diana merengus.
            “ Ni yang malas ni. Orang tak nak pergi kelas je, dah babitkan dengan dress up orang sekali. Tak sporting langsung mama ni.” Diana buat muka bosan. Dia bingkas bangun menuju ke bilik tanpa menghiraukan mamanya lagi. Puan Zafirah yang sedang menjahit baju di ruang tamu hanya mampu menghantar langkah anaknya itu dengan ekor mata. Dia buntu memikirkan hal Diana.

****************


“Tin Tin!!!” bunyi hon motosikal menyentakkan lamunan Puan Zafirah. Dia bangun lalu menuju ke pintu utama. Kepala dijengukkan sedikit ke luar pintu.
            “ Oh Nuar..mak cik ingat siapa yang datang tadi,” sapa Puan Zafirah mesra. Anuar tersenyum nipis. Enjin motosikal dimatikan.
            “ Nak hantar barang ni mak cik, Cik Diana order minggu lepas.” Beritahu Anuar kepada Puan Zafirah. Puan Zafirah mengerutkan keningnya.
            “ Ice tea lagi ke? budak ni, banyak lagi stock air ni kat dalam peti tu. Dah dia order yang lain pulak,” Anuar yang mendengar bebelan kecil Puan Zafirah sudah tergelak. Jelas wajah Puan Zafirah seperti orang tak puas hati. Marah sebenarnya tu!
            “ Takpelah mak cik. Dia nak buat stock untuk sebulan kot..” Anuar masih tergelak kecil. Kesian pulak tengok Puan Zafirah tu. Asyik kena dengan anak dia je..
            “ Perangai kalau degil ni payah Nuar. Mak cik bukan kedekut, tapi tengoklah. Cakap mak cik bukan nak dengar. Tak habis lagi air tu, dah di ordernya yang baru. Geram betul mak cik,” Puan Zafirah menggelengkan kepalanya beberapa kali. Anuar mengangkat kotak itu lalu diletakkan di atas kerusi batu di sebelah pintu rumah Puan Zafirah.
            “ Nuar tunggu sekejap ya, mak cik pergi ambil duit,” Anuar hanya mengangguk. Matanya sempat meneliti ke dalam rumah Puan Zafirah. Nampak sangat kemas dan elegant. ‘Bestnya kalau aku jadi orang kaya,’ Anuar mula berangan-angan.
            “ Nuar, nah duitnya,” Puan Zafirah menghulurkan duit bayaran minuman tersebut kepada  Anuar.
            “ Terima kasih mak cik. Saya minta diri dulu lah yer,” pinta Anuar sopan. Wajahnya kelihatan sudah berpeluh-peluh. Panas barangkali.
            “ Eh, tak masuk dulu ke Nuar? Minum-minum dulu,” pelawa Puan Zafirah yang kesian melihat Anuar berkerja keras menghantar minuman ke merata tempat.
            “ Eh, takpelah mak cik. Saya kena balik sekarang. Nanti boss saya bising pulak. Dia tengah banyak keja sekarang ni, so sayalah yang kena incharge semuanya,” Anuar menolak pelawaan Puan Zafirah dengan baik. Takut nanti orang kata tak sudi pulak.
            “ Oh macam tu. Yelah, hati-hati bawak moto tu. Ni, terima kasih banyak-banyaklah hantar minuman ni kat rumah mak cik yer,”
            “ Sama-sama mak cik,” Anuar segera menghidupkan enjin motosikal. Ada lagi satu tempat yang perlu dihantarnya. Tak jauh dari situ. depan rumah je pun!



*************************


“ Mak Jah, orang yang hantar air tu tak sampai lagi ke?” soal Shah yang sudah lengkap berpakaian uniform pilot. Hari ini dia akan terbang ke Dubai. Tiga hari lagi, baliklah.
            “ Belum lagi. Mak Jah tak dengar pun bunyi van hon kat depan ni.” Terang mak Jah. Dia mengibas-ngibas sofa yang kelihatan sedikit berhabuk dengan bulu ayam. Matanya sempat menilik penampilan majikannya seketika.
            “ Kacak betul Shah hari ni. Terbang ke mana pulak kali ni?” Mak jah memuji majikannya yang sedang memakai jam Rolex di tangan ketika itu. Shah sudah tergelak kecil.
            “ Dubai. Laahh..hari ni je ke saya kacak Mak Jah? Semalam-semalam tak?” Shah sengaja menguji.
            “ Hari-hari pun kacak. Cuma hari ni mak Jah tengok muka Shah berseri-seri. Selalunya tak macam ni.”
            “ Yeke Mak Jah? Berseri macam mana tu? Saya rasa macam biasa je,” balas Shah. Dia sudah duduk di atas kerusi. Stoking di sarungkan ke kaki. Baru sahaja mak Jah hendak membalas kata-kata Shah, kedengaran hon motosikal di luar rumah. Mak Jah segera berlalu ke pintu. Namun, Shah lebih pantas menahannya. Takkan nak biarkan orang tua angkat barang pulak. Habis yang aku tercongok kat sini buat apa?
            “ Mak jah, Mak Jah, takpe. Biar saya pergi ambik air tu,” arahnya. Automatik langkah Mak jah terhenti.

**************


“ Assalamualaikum bang..wah, dah siap nak pergi kerja ke?” Anuar menyapa mesra. Baru sebulan dia mengenali Shah, tapi gayanya macam dah kenal lama. Mungkin sebab Shah yang mudah mesra dengan orang lain kot.
            “ Ha’ah, nak pergi kerja la ni. Tunggu air kau kejap. Dari semalam nak minum, tak dapat-dapat lagi,” balas Shah sambil ketawa. Anuar tersenyum.
            “ Maaflah bang, jem sikit tadi kat jalan, lepas tu hantar air kat rumah depan tu kejap. Tu yang lambat sikit,” jelas Anuar kepada Shah. Shah mengangguk.
            “ Eh, takpe. Lagipun flight abang pun bukan pagi ni. Pukul 2 nanti. Saje je siap awal sikit,” giliran Shah pula menerangkan perihal dirinya.
            “ Oh..mcam tu..” Anuar terangguk-angguk. Kotak berisi Soda diletakkan ke bawah.
            “ Eh Nuar, tadi kau kata, kau hantar air kat rumah orang depan ni kan? Dia order air apa?” soal Shah tiba-tiba. Sudah sebulan dia berpindah ke rumah itu, namun dia langsung  tidak mengambil tahu akan perihal jiran-jirannya. Yang dia tahu, kerja, kerja, dan kerja. Yang lain, do I care?
            “ Oh kat rumah depan ni tadi? saya hantar air ice tea.. Anak orang tu, suka sangat minum ice tea. Kadang-kadang sampai berkotak-kotak saya hantar. Cuma hari ni je, dia nak sekotak. Pelik jugak saya.” Terang Anuar sambil tersengih.
            Shah yang mendengar sudah membuat muka seperti kegelian.
            “ Ice tea? Euww…” ucapnya. Badannya menggeletik seperti cacing kepanasan. Anti betul dia dengan  ice tea. Anuar yang melihat sudah mengerutkan dahinya.
            “ Kenapa dengan ice tea bang?” soalnya hairan.
            “ Abang tak suka langsung air tu. Nak muntah kalau bau. Kalau minum terus muntah agaknya.”
            “ Kenapa pulak bang? Air tu okey je saya rasa,”
            “ Tak..bukan macam tu. Dulu ada kes kenapa abang tak suka air tu..” baru sahaja Shah hendak mula membuka cerita, telefon bimbit Anuar berbunyi. Anuar memerhati ke skrin telefon. Namun tidak dijawabnya.
            “ Alamak, bang. Supervisor saya dah telefon lah. Saya gerak dulu eyh,” Anuar cepat-cepat meminta diri. Dia melompat ke atas motor.
            “ Eh, Nuar, ni duit air tadi,” Shah yang teringat dia belum menjelaskan harga air tadi, cepat-cepat mengeluarkan duit dari dalam walletnya. Duit bertukar tangan.
            “ Alright bang, chow dulu,”  

**************


“ Ma! Ni air soda ma..bukan ice tea!” Diana menjerit kuat. Ketika itu dia sudah bersiap sedia untuk ke kelas, di Universiti Kebangsaan Malaysia. Oh, budak UKM rupanya..
            “ Ni apa yang terjerit-jerit ni Diana?” terkocoh-kocoh Puan Zafirah muncul dari ruang tamu. Terperanjat dengan jeritan Diana yang tiba-tiba itu. Diana menghempas kasar pintu peti ais.
            “ Ni, air ni. Orang tu salah hantar. Diana order ice tea, bukan soda!” dia merungur-rungut lagi. Dia duduk di kerusi meja makan di dapur. Mukanya masam mencuka. Merajuk. Sebal.
            “ Lah, apa masalahnya. Kalu tersalah pun, nanti tukarlah. Tu dalam peti tu, ice tea kan banyak lagi. Minum jelah dulu. Nanti mama bagitahu dekat Nuar,” Puan Zafirah memujuk. Muka Diana yang memuncung menambahkan geram di hatinya. Mengada-ngada! Ingat masalah apa yang besar sangat tadi.
            “ Diana tak kira. Apa yang Diana tahu, dia dah tersalah hantar. Nanti mama tukar dengan dia. Kalau dia tak bagi tukar,Diana nak mintak ganti rugi,” ujar Diana geram seraya berpeluk tubuh.
            “ Yelah, nanti mama telefon Nuar tu. Dah, pergi lah kelas tu, nanti lambat pulak,” arah Puan Zafirah yang sudah malas mahu memanjangkan cerita. Diana bangun lalu mencapai 3 tin ice tea di dalam peti sejuk untuk dibawa ke kelas. Itulah tabiatnya. Dari dulu sampailah sekarang.
*************



Enjin Porsche dihidupkan. Sementara menunggu enjin panas, Shah mengambil luggage bag yang terletak di tepi pintu utama rumah lalu dimasukkan ke dalam kereta. Dua helai kemeja yang telah siap di gosok di gantung elok di dalam kereta. Akhir sekali, dia membuka kotak minuman yang berisi soda yang dihantar oleh Anuar sebentar tadi. Matanya bulat memandang dalam kotak berkenaan.
            “ Ice tea?? ni mesti Nuar dah tersalah hantar lah tadi ni. Aduh..” rungutnya sendirian. ‘Macam mana nak buat ni?’ Shah menggaru-garu kepala. Tak dapatlah aku minum soda hari ni..rungutnya kecewa. Dia bangun dari duduknya lalu bergerak ke kereta.
Baru sahaja dia hendak membuka pintu kereta, matanya menangkap sesuatu di celah-celah pagar rumah yang tersegam indah di  hadapan rumahnya. Kelihatan seorang gadis sedang membuka pintu kereta. Gadis itu dilihatnya berpakain formal. Kemeja putih, seluar slack hitam, beserta tudung bawal bercorak abstrak menghiasi kepalanya. Ehm, pergi clubbing free hair, pergi kelas pakai tudung pulak..hai, pelik,pelik..
Shah terpaku melihat keindahan di hadapannya. Namun hanya seketika cuma apabila gadis itu sudah masuk ke dalam kereta. Pintu pagar automatik di hadapan rumah gadis itu terbuka. Shah yang tiba-tiba teringatkan sesuatu pantas berlari ke hadapan rumah. Dia menghadang perjalanan keluar kereta Diana.
Diana terperanjat. Dia yang baru sahaja hendak membawa keluar Ford Fiesta nya dari halaman rumah segera menekan break. ‘Orang gila mana pulak yang terpacak kat depan aku ni?’ siap pakai uniform lagi.

*******************

Shah sudah berdiri di tepi pintu kereta Ford Fiesta milik Diana. Diana segera menurunkan cermin tingkap.
“ Err..tadi awak ada order air kan? Ice tea?” Dia terdiam. Otaknya ligat mencerna apa yang diperkatakan lelaki itu sebentar tadi. Kemudian baru dia mengangguk.
“ Haah, kenapa?” Shah menarik nafas panjang.
“ Tak, air awak ada kat rumah saya tu. Dorang dah tersalah hantar. Saya order Soda, tapi dapat Ice tea. Awak punyalah kot Ice tea tu,” kenyataan Shah tiba-tiba membuatkan Diana naik berang. Dia yang sejak dari dulu benci akan minuman tersebut seolah-olah tidak dapat menerima sesiapa sahaja yang gemar akan air berkenaan. Ada jugak orang yang obsess minum soda? Euw..not my taste!
“ Oh, so soda tu awak punyalah..ape kelas minum soda? Tak sedap langsung!” tiba-tiba Diana menempelak. Shah tersentak. Dia benar-benar terperanjat dengan kata-kata Diana yang tidak disangka-sangakanya itu. Wajahnya mula membahang.
“ Eh, apa masalahnya kalau aku suka minum soda? Bukan aku beli pakai duit kau pun. Ape kau ingat ice tea tu sedap sangat ke? rasa macam longkang tau tak?” Shah membalas serangan Diana. Dia betul-betul naik berang. Kurang ajar betul perempuan ni! Tak guna muka cantik!
“ Hei, longkang tak longkang. Aku rasa mulut kau tu yang macam longkang. Orang yang minum soda ni, semuanya sama. Tak boleh pakai!” Diana membalas lantang. Bermulalah perang dunia ketiga antara jiran depan rumah.
“ Cantik betul bahasa kau kan. Apesal? Kau ingat orang yang minum ice tea ni boleh pakai sangat ke hah?? Lantaklah, yang penting aku nak air soda aku balik,” Shah yang terasa kesabarannya makin menipis segera ingin menamatkan pertengkaran. Lagipun, dia harus cepat menuju ke airport. Nak jumpa kawan lamanya.
“ Kau ingat aku nak sangat ke air soda kau tu? Aku boleh bagi, tapi bukan hari ni. Aku dah lambat. Permisi,” kata Diana selamba. Sengaja mahu membakar line Shah. Dua jari diangkat tanda memohon diri. Seketika, tanpa menghiraukan mata Shah yang mencerlung memandangnya, pedal minyak ditekan. Ford Fiesta bergerak laju meninggalkan kawasan perumahan Bukit Kiara…..



Shah menghentak kuat streng kereta. Moodnya yang pagi tadi sangat baik bertukar menjadi angin satu badan. ‘Tak guna punya perempuan!’ bentaknya geram. Terasa egonya benar-benar tercabar dengan kata-kata Diana tadi.
            Kereta membelok ke kiri. Jelas terpampang di hadapannya signboard KLIA. Pedal minyak ditekan menambahka kelajuan Porsche nya. Tempat parking menjadi tujuan. Setelah memakir kereta, Shah turun dengan membawa luggage bag beserta dua helai kemeja yang siap di hangernya dari rumah tadi. Banyak mata yang memandangnya di kala itu. Tidak kira orang awam mahupun pramugari-pramugari yang lalu-lalang di sekitar kawasan KLIA. Maklumlah, orang hensem..pakai uniform pilot pulak tu. Siapa tak terbeliak mata tengokkan..
            Shah hanya beriak selamba. Sudah lali dengan situasi berkenaan. Spek hitam yang tersangkut di kocek dipakai. Dia kemudian melabuhkan punggung di kerusi panjang yang terdapat di luar balai perlepasan. Masih awal lagi. Dia meliarkan matanya ke sekeliling. Tiba-tiba, kelibat seseorang yang baru dikenalinya beberapa jam tadi mencuri perhatiannya.  Pantas spek hitam ditanggalkan. Ingin memastikan apa yang dilihatnya adalah benar atau tidak.   

**************


“ Diana, please..kali ni je. Aku betul-betul terdesak ni. Tak ada orang nak hantar aku,”
Rayu Nurul. Diana serba salah.
            “ Aku bukan tak nak tolong kau, tapi aku kena balik cepat ni. Nanti mama aku bising,” Diana memberitahu hal yang sebenarnya.
            “ Diana, tolonglah. Kau cakap dengan mak kau, aku mintak tolong sangat-sangat hantar aku pergi airport. Mesti mak kau tak marahnya,” Diana terdiam. Riak wajahnya jelas kelihatan gelisah. Kesian pulak kat Nurul, nanti aku susah tak ada siapa nak tolong aku.
            “ Okeylah, aku hantar kau,” Akhirnya Diana memberi persetujuan.

************


‘ Apehal pulak perempuan ni buat kat sini?’ Shah masih memerhati Diana yang sedang bersalaman dengan seorang perempuan. Kemudian, dia melihat perempuan itu berlalu ke balai perlepasan dalam negara. Diana pula dilihatnya menuju ke main gate KLIA. Hendak pulang barangkali.
Tiba-tiba seorang lelaki datang mendekati Diana. Lelaki itu dilihatnya menghalang perjalanan Diana. Diana bertindak untuk melepaskan diri. Namun Shah dapat melihat yang tangan lelaki itu kejap memegang bahu Diana. Shah yang melihat sudah tidak sedap hati. ‘Ni apa kes pulak ni? Main kasar je lelaki ni.’
Diana dilihatnya berjaya menepis taangan lelaki itu. Diana keluar dari main gate. Lelaki tersebut mengekorinya. Shah bangun dari kerusi. Langkah diatur laju ke arah Diana dan lelaki yang dilihatnya sebentar tadi. Dia yakin, pasti ada yang tak kena antara Diana dan lelaki itu.


Di luar gate….



“ Eh lepaslah! Kau tak faham bahasa ke? Aku tak kenal kau.” Jerit Diana. Dia sudah mahu menangis.
            “ Saya suka dekat awak. Awak cantik sangat. Dari tadi saya perhatikan awak,” ucap lelaki itu. Dipandangnya Diana dengan pandangan yang penuh makna. Diana sudah cemas. ‘Lelaki ni gila ke apa?’ lelaki itu menarik tangan Diana. Kali ini lebih kuat dari tadi. Diana menjerit kuat. Dia benar-benar ketakutan.
            “ Hoi, kau nak apa dari dia?” Shah berkata kuat. Dia segera mendekati Diana. Diana berpaling. Terkejut bukan kepalang melihat lelaki yang bertengkar dengannya tadi kini berada di hadapannya.
            “ Tak ada kena –mengena dengan kau. Ni hal aku dengan dia. Kau jangan masuk campur.” Balas lelaki itu pula. Shah yang mendengar langsung tidak takut. Malah dia tersenyum sinis.
            “ Tak ada kena-mengena dengan aku? Dia isteri aku!” Shah membalas geram lantas merentap tangan Diana dari pegangan lelaki tadi. Wajahnya tegang. Matanya menikam anak mata lelaki di hadapannya. Lelaki itu kelihatan terkejut. Diana terpempan! aik, drama apa pulak ni?



Bersambung…….   

Saturday 29 June 2013

sinopsis 'nelayan vs ce0' edit

sinopsis ‘Nelayan vs Ce0’

         ' Kisah "nelayan vs Ce0" bermula apabila sekumpulan pelajar UUM menyertai satu program anak angkat di satu perkampungan nelayan Dungun, Terengganu. Pertemuan yang tidak dirancang antara Nurul Ain dan Arman Zafril telah menimbulkan satu tragedi. Identiti sebenar yang disembunyikan oleh kedua-dua watak utama dalam cerita ini menimbulkan pelbagai persoalan di antara mereka. Kemunculan Tengku Zarrin Mikhail, menjadi punca terbongkarnya rahsia yang disembunyikan oleh Arman Zafril dan Nurul Ain. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Arman Zafril semakin tertekan dengan sikap ego Nurul Ain. Dia masih berusaha memenangi hati gadis itu, merangkap isterinya.


sedutan 'nelayan vs ce0'...

       “ Ha, Leesa..apa citer ni? Macam mana minyak boleh habis pulak? Tak isi minyak

 ke?” Tengku Zarrin bersuara separuh membebel. Arman Zafril memandangnya tanpa berkelip. 

Tengku Zarrin membuka pintu kereta Nurul Ain. Mencuba untuk menghidupkan enjin. Arman 

Zafril bersandar di pintu belakang seat pemandu. Dia berpeluk tubuh memandang Nurul Ain 

yang kelihatan seperti sudah tidak tentu arah. 


        “ Lain kali..sebelum pergi kerja, check minyak dulu..tengok penuh ke tak..jangan main

 rasa-rasa je..kalau boleh, amalkan isi minyak full tank. Senang..nanti taklah kalut nak cari 

stesen minyak..kereta bukan setakat nak bawak pergi kerja je, banyak lagi tempat nak 

pergi..Ain tu dah lah panjang je langkah,” Arman Zafril berkata. Ada sindiran di situ. Nurul Ain 

tersentak. Namun lidahnya kelu untuk membalas kata-kata Arman Zafril itu.


 Bagaimanakah kisah perkahwinan mereka? Adakah bahagia atau sebaliknya? Bagaimana pula keluarga mereka? Adakah mereka dapat menerima perkahwinan Arman Zafril dan Nurul Ain?...ikuti sambungan kisah ‘nelayan vs ce0’……..